Translate

Bantu iDAN Sila Klik

Tuesday, February 26, 2013

Koleksi antik Pak Akob dari Batu Pahat – miliki ratusan basikal antik termasuk Panny-Farthing & Ordinary


Mohd. Saupi Salim a.k.a Pak Akob (tiga dari kiri), bersama rakan-rakan yang turut berminat mengumpul barangan antik di Batu Pahat, Johor, baru baru ini.

Semalam penulis terbaca satu rencana di Utusan Malaysia mengenai koleksi antik milik Pak Akob dari Batu Pahat, Johor. Sebelum ini pernah mendengar cerita mengenai seorang kolektor dari Johor memiliki ratusan basikal antik dan barang-barang antik yang bercadang membuka muzium antik di Melaka…ternyata beliaulah individu yang dimaksudkan itu.

Membaca rencana yang ditulis membuatkan penulis terasa teruja untuk melihat sendiri koleksi-koleksi beliau jika diizinkan. Siapa sangka koleksi-koleksi dan khazanah berharga ini tersimpan di negeri Johor sejak sekian lama…dan penulis percaya masih ada beberapa kolektor di selatan tanahair menyimpan koleksi-koleksi berharga seperti ini. Penulis juga berharap akan dapat berjumpa dengan ramai kolektor di ADTEC pada hari Ahad ini nanti. Untuk mendapatkan lebih maklumat silalah baca rencana yang penulis perolehi dari laman web Utusan – Basikal Malaya

Koleksi antik Pak Akob

Rencana dan Gambar NORZAINURA ABDUL MAJID

SEBAIK sahaja kaki melangkah masuk ke dalam rumahnya, rasa teruja dan kagum melihatkan pelbagai koleksi menarik tersusun kemas di setiap sudut rumah ibarat berada dalam mini muzium yang menyimpan pelbagai barangan klasik. Tetapi rumah teres yang tidak mempunyai ruang yang besar tidak memungkinkan keseluruhan koleksi barangan dapat dikumpul dan dipamerkan dalam satu tempat yang lebih tersusun.

Beliau tidak lokek untuk berkongsi pengalaman dan memberi penerangan tentang barangan yang dimilikinya kepada sesiapa sahaja yang bertandang ke rumah. Siapa sangka hobinya mengumpul pelbagai barangan antik sejak 25 tahun lalu akhirnya mencetuskan idea menarik untuk membuka sebuah muzium agar kesemua koleksinya dapat ditonton oleh umum.

Bermula dengan barangan permainan kanak-kanak seperti botol susu yang diperbuat daripada kaca, pelbagai permainan dari luar negara juga perabot serta beratus basikal yang masih disimpan dengan baik menjadikan Mohd. Saupi Salim, 54, atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Akob sebagai salah seorang daripada 500 pengumpul barangan antik dan permainan kanak-kanak terbesar di Asia. Menurut Pak Akob, dia mula serius mengumpul barangan antik sejak 15 tahun lalu dan menjadikannya sebagai hobi sekeluarga. Semua anak-anaknya turut mempunyai hobi yang sama dan menjaga dengan baik koleksi yang dimiliki.

Pak Akob yang juga seorang usahawan berharap impiannya akan menjadi kenyataan kerana koleksi barangan yang dimilikinya sudah tiada lagi di pasaran sekarang dan tentunya dapat menarik orang ramai untuk melihatnya. ‘‘Saya dapat idea untuk mengumpulkan barangan ini dalam sebuah muzium kerana ingin orang ramai turut serta melihat dan mengetahui tentang berangan tersebut sekali gus merancakkan industri pelancongan di negara kita,” jelasnya yang telah menubuhkan sebuah syarikat iaitu Museum Collections Sdn. Bhd.

Antara koleksi terbaik yang beliau miliki ialah paddle car pelbagai jenis keluaran tahun 1925 hingga 1980. seperti kereta bomba, keretapi, jeep serta bot yang diperbuat daripada besi dan kayu. Tambahnya lagi paddle car tersebut berjenama Austin, Jaguar, Coachbuit dan Bugatti yang berharga antara RM500 hingga RM5,000. Manakala permainan kanak-kanak daripada tin (tintoys) yang kebanyakannya dari England dan Jepun yang dibeli dengan harga RM50 hingga RM1,500.

‘‘Kesemua barangan itu ada lebih kurang 300,000 koleksi termasuk pelbagai barangan dari jenama Coke,” jelsnya ketika ditemui dikediamannya di Kampung Tengah Muar, baru-baru ini. Selain barangan permainan, Pak Akob juga mempunyai lebih 200 buah basikal kanak-kanak untuk usia tiga hingga lima tahun yang dipanggil bone shaker yang berharga antara RM1,000 hingga RM3,000 sebuah dan paling berharga beliau mempunya koleksi basikal kanak-kanak keluaran pertama dunia.

Beliau turut memiliki 400 koleksi basikal kanak-kanak keluaran tahun 1900 hingga 1970 jenama Tricycle, Tri-Ang dan Mobo yang berharga antara RM500 hinga RM2,500. ‘‘Saya juga mempunyai koleksi basikal antik bersaiz 18 inci hingga 28inci dari jenama Bsa, Triumph, Sunbeam, Norton, Royal Enfield dan Rudge berharga antara RM800 hingga RM5,000 sebuah,” ujarnya. Pak Akob juga mempunyai tujuh buah basikal Big Wheel atau nama lainnya iaitu Panny-Farthing dan Ordinary keluaran tahun 1880 dan awal tahun 19 dengan harga RM2,500 hingga RM5,000 sebuah.

Menurut Pak Akob, bukan mudah untuk mendapatkan koleksi barangan tersebut yang ada antaranya telah berusia lebih satu abad dan berada dalam keadaan baik serta dijaga dengan rapi. Tambahnya lagi setakat hari ini kesemua koleksi barangan antiknya bernilai RM3.5 juta termasuk pelbagai perabot antik yang kebanyakannya berasal dari negeri Cina, peninggalan kaum peranakan Baba dan Nyonya juga perabot buatan England.

‘‘Melihat kesemua koleksi saya tersusun kemas dan berada dalam keadaan baik saya berasa puas, justeru saya berhasrat untuk membuka sebuah galeri atau muzium yang boleh menempatkan kesemua koleksi yang saya ada untuk tatapan umum,” jelasnya bangga. Pak Akob menambah, dia telah menubuhkan syarikat berkenaan bersama rakan kongsinya Profesor Dr. Roland Ong yang merupakan seorang pengumpul kamera terbesar di Asia dan muzium itu akan bertemakan Historic Photo and Toy Tourism.

Negeri Melaka merupakan tempat yang dianggapnya sesuai untuk membuka muzium berkenaan kerana ia negeri bersejarah dan barangan yang dimilikinya juga mempunya sejarah yang tersendiri. Buat masa ini katanya, sebuah panggung wayang lama di tengah bandaraya Melaka telah dikenal pasti untuk dijadikan muzium dan rundingan dengan pihak kerajaan negeri Melaka sedang dilakukan. ‘‘Saya yakin muzium itu bakal mencatat satu lagi sejarah buat negeri Melaka khasnya, dan Malaysia amnya kerana ia akan menjanjikan kelainan,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment