Translate

Bantu iDAN Sila Klik

Thursday, February 14, 2013

Gua Kandu Gopeng


MARZUKI Ahmad (kanan) memberi penerangan mengenai Gua Kandu di Gopeng, Perak, baru-baru ini. - UTUSAN/Roy Azis Abd. Aziz

GOPENG 24 Julai - Bagaimanakah rasanya jika anda terperangkap dalam sebuah ruang yang gelap dan tidak mampu mencari laluan keluar?

Lebih mencemaskan apabila anda melalui laluan yang sama berkali-kali dalam suasana hening, dingin dan persekitaran yang berdebu.

Pasti keadaan itu akan mengundang keresahan walaupun sebenarnya tanpa anda sedari ia membawa anda kepada satu laluan bagi merungkai keajaiban misteri alam semula jadi yang belum diterokai sepenuhnya.

Jika pengalaman sebegitu yang anda cari, Kem Kandu Eco Adventure yang terletak di kampung Gunung Mesah Hulu di daerah Gopeng adalah jawapannya.

Menurut pengarah kem merangkap pemilik Gua Kandu, Marzuki Ahmad, keadaan gua tersebut yang masih belum terusik menyebabkan ia sering menjadi pilihan kepada mereka yang gemarkan aktiviti penerokaan gua yang ekstrem.

Katanya, ini kerana mereka yang mahu memasuki gua itu perlu berhati-hati kerana tiada laluan khas disediakan selain tidak mempunyai lampu yang dipasang di dalam gua itu.

"Ini istimewanya Gua Kandu kerana keadaannya masih terpelihara dan berbeza dengan gua rekreasi lain di negeri ini yang disediakan trek laluan pejalan kaki," katanya kepada penulis sebelum memulakan pengembaraan di gua berkenaan baru-baru ini.

Sebelum memulakan pengembaraan, penulis yang turut disertai tiga lagi peserta lain diberi penerangan tentang laluan yang bakal kami tempuhi.

Sambil berbual ringkas, kami diberikan peralatan topi keselamatan dan lampu suluh di kepala bagi memulakan perjalanan meneroka gua batu kapur yang berusia lebih 400 juta tahun itu.

Walaupun diberikan pilihan untuk menggunakan laluan pintas, namun, atas rasa inginkan cabaran, kami memilih laluan sama yang digunakan pendaki lain.

Cuaca yang baik tidak menyukarkan pendakian apatah lagi di sepanjang laluan telah direntangi tali-tali yang sedia dipasang sepanjang laluan.

Tiba di satu kawasan lapang berhampiran pintu gua, Marzuki berkata, kawasan itu pernah dijadikan pejabat operasi dan pentadbiran tentera semasa pemerintahan Jepun.

Malah, katanya, tentera Jepun juga mahu menjadikan kawasan itu sebagai landasan dan tempat menyimpan kapal terbang mereka namun tidak tercapai apabila perang tamat dan Jepun menyerah kalah.

"Ramai orang kampung yang dikerahkan untuk menyiapkan landasan ini namun hanya separuh sahaja yang sempat disiapkan sebelum perang tamat pada 1945.

"Tidak lama selepas Jepun meninggalkan gua ini, ia dijadikan tempat pentadbiran dan persembunyian pengganas komunis termasuk beberapa pemimpin utama mereka seperti Chin Peng," jelasnya.

Kami kemudian meneruskan perjalanan sebelum terhenti apabila Marzuki menyuluh lampu ke satu arah yang menempatkan lukisan lambang bintang tiga yang terdapat di dinding gua.

Menurut Marzuki, kawasan lapang yang tertera lambang bintang tiga itu merupakan bilik mesyuarat yang pernah digunakan semasa pengganas komunis berada di gua itu.

Perjalanan diteruskan sebelum ada di antara kami yang bersuara dan bertanyakan kepada Marzuki mengapa rombongan kami melalui laluan yang sama sebanyak dua kali.

Menjawab sambil tersenyum, Marzuki berkata, penerokaan di Gua Kandu umpama berpusing dalam satu laluan bulatan yang besar.

Jika pada awalnya, penerokaan kami kelihatan agak santai namun, apabila hampir separuh perjalanan dilalui, kesukaran perjalanan semakin dirasai.

Ada di antara laluan itu memerlukan kami mendaki dan menuruni cerun gelap setinggi 50 hingga 80 kaki. Tidak kurang juga ada yang memerlukan kami merangkak untuk tiba ke lokasi seterusnya.

Namun, kepayahan yang dilalui nyata berbaloi. Apatah lagi apabila berpeluang melihat sendiri tekstur permukaan dinding dan bumbung gua yang terbentuk sejak jutaan tahun lalu seperti dinding langsir serta batu berombak-ombak.

Ia boleh diumpamakan seperti berada di dalam sebuah dunia yang asing. Melihat keindahan stalagtit dan stalagmit yang bercantum lalu membentuk pelbagai bentuk arca di segenap penjuru gua itu, nyata mempesonakan.

Tidak hairanlah, gua ini sering menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara yang mahu menyaksikan sendiri keunikannya. Sekali imbas, ada di antaranya yang menyerupai bentuk telur gergasi, obor-obor, ekor ikan, gajah, wanita yang sedang berdoa dan kepala singa.

"Arca-arca ini terhasil secara semula jadi dengan melibatkan elemen angin, kelembapan dan cahaya. Tiada tangan manusia mampu menciptanya.

"Ada di antaranya telah berusia ribuan tahun dan cuba bayangkan, untuk menjadikan satu sentimeter bentuk aliran tersebut memerlukan masa selama lima tahun," jelasnya.

Utusan

No comments:

Post a Comment