Translate

Bantu iDAN Sila Klik

Tuesday, February 26, 2013

Basikal tua masih diminati


Oleh ZAMZURINA AHMAD




ALOR STAR 30 Jun - Jika individu lain berlumba-lumba untuk mendapatkan kereta atau motosikal terkini yang lebih moden, tetapi sekumpulan masyarakat di sini lebih gemar memiliki basikal lama.

Di negeri ini, basikal atau lebih dikenali sebagai 'gerek' menjadi pilihan sekumpulan individu sehingga berjaya menubuhkan persatuan yang dikenali Persatuan Gerek Klasik Negeri Kedah.

Menurut Timbalan Pengerusinya, Razali Mat Desa, mereka sanggup menjelajah ke seluruh negara untuk mencari kelengkapan basikal lama.

''Kadang-kala kami terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi untuk mendapatkan kelengkapannya kerana kebanyakannya tidak dijual di pasaran terbuka.

''Kami memerlukan banyak kenalan terutama di kalangan 'orang-orang lama' bagi memudahkan pencarian ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Sehingga kini, persatuan yang ditubuhkan secara rasmi sejak 2004 mempunyai keahlian tetap seramai 45 orang.

Ahli-ahli yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat ini berada dalam lingkungan umur antara 20 hingga 70 tahun.

Tambah Razali, kebanyakan ahli Persatuan Gerek Klasik Negeri Kedah memiliki sekurang-kurangnya lima buah basikal klasik yang berharga antara RM3,000 hingga RM5,000 sebuah.

Sementara itu, bagi Mansor Shaari, 50, dia mula aktif mengumpul basikal-basikal lama itu sejak lima tahun lalu apabila rakannya yang memiliki kedai basikal di Jalan Langgar di sini ingin menutup perniagaannya.

''Sejak itu saya mula meminati basikal. Semasa remaja dahulu basikal merupakan satu-satunya pengangkutan yang menjadi kebanggaan.

''Kita akan dianggap sebagai 'hero' apabila memiliki basikal dan kadang-kala gadis-gadis akan mula memandang kepada kita," ujarnya yang merupakan setiausaha persatuan tersebut.

Mansor yang mempunyai koleksi basikal klasik lebih daripada 20 buah yang dikumpul sejak 1950-an berkata, dia mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun untuk menyiapkan sebuah basikal.

Antara salah satu koleksinya yang berharga RM4,000 ini diperoleh peralatannya daripada beberapa tempat di sekitar Perlis, Pulau Pinang dan Perak.

''Menariknya mengenai basikal ini ialah menggunakan lampu karbaid yang telah digunakan pada 1908 yang kini berharga RM1,300 sebuah,'' jelasnya.

Sementara itu, persatuan ini juga sentiasa bergerak aktif untuk memperkenalkan basikal-basikal klasik kepada orang ramai terutama generasi muda.

Selain pernah menyertai Kayuhan Merdeka 2003, persatuan ini juga pernah membuat pameran di Muzium Arkeologi Lembah Bujang, Merbok selama 30 hari baru-baru ini.


Dalam pada itu, persatuan ini juga mengalu-alukan kehadiran ahli-ahli baru dan sesiapa sahaja yang berminat untuk menjual peralatan basikal lama seperti loceng, pemegang basikal, pelantar, tempat duduk dan kong basikal.

No comments:

Post a Comment